Ketidaktentuan Ekonomi Global Bersifat Sementara

Ketidaktentuan ekonomi global berikutan faktor luaran sehingga menyaksikan kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) disifatkan sebagai kesan sementara.

Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, keadaan ekonomi negara ketika ini masih stabil berbanding krisis kewangan ASEAN pada 1997 dan 1998.

Katanya, kemelut ekonomi pada tahun berkenaan menyebabkan Kadar Keluaran Negara Kasar (KDNK) negara menguncup hingga 7.1 peratus, iaitu terburuk dalam sejarah.

“KDNK kita masa itu jatuh hingga AS$100 bilion (RM448 bilion), namun Malaysia berjaya keluar daripada kemelut berkenaan hasil pelbagai usaha kerajaan dalam merangsang ekonomi domestik.

“Pasca krisis kewangan ASEAN, kita komited melaksanakan rangkaian pakej pembinaan dan peralihan ekonomi kepada sektor perkhidmatan, berbanding berasaskan komoditi, sekali gus melonjakkan KDNK negara kepada AS$310 bilion (RM1.38 trilion).

“Sehubungan itu, ketidaktentuan ekonomi global yang didorong faktor luaran ini adalah hanya sementara dan kita yakin Malaysia mampu mengharunginya,” katanya pada ucaptama perasmian majlis Ulang Tahun Ke-20, Aliran Transit Ringan (LRT) Laluan Ampang, hari ini.

Johari berkata, sektor perkhidmatan negara ketika ini menyumbang 54 peratus kepada KDNK, berbanding sektor komoditi yang menjana sekitar 18 peratus merangkumi industri pertanian, perlombongan dan gas asli cecair (LNG).

Peralihan itu, katanya, berupaya mencetuskan kesan limpahan ekonomi, khususnya merangsang pertumbuhan domestik dan melonjak kemasukan pelancong asing ke negara ini.

“Meskipun pelaburan pengangkutan awam akan memberi pulangan tempoh panjang, kita akan dapat manfaat daripada pelbagai sektor perkhidmatan termasuk pengguna LRT, monorel dan Aliran Transit Massa (MRT).

“Sehubungan itu, ekonomi negara akan kembali seperti sedia kala menerusi pelbagai penjanaan domestik, termasuk daripada sektor perkhidmatan dan industri pengangkutan awam,” katanya. – 22 Disember 2016.