Tidak Cukup Dengan Kutip Derma Sahaja

Memang benar, hidup tidak dapat dipisahkan dengan politik. Tambahan pula di universiti politik terbuka Kelantan Darul Naim. Semuanya bersangkut paut dengan politik.

Hendak dijadikan cerita. Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dipimpin oleh pemimpin UMNO. Diketuai oleh Tan Sri Annuar Musa, tokoh UMNO. Dan di dalamnya pula kebanyakkan pemimpin UMNO.

Ada juga orang PAS dalam KAFA tetapi tidak ramai sangat. Namun berkuasa juga satu dua ahli majlis yang cenderung kepada PAS ini.

Annuar mengambil alih KAFA bukan disaat persatuan dalam keadaan segar. Kelantan pada ketika itu bukannya The Red Warriors. Baru saja naik pangkat daripada Liga FAM kepada Liga Perdana. Liga yang paling corot dalam hierarki Liga Malaysia.

Ketua UMNO Bahagian Ketereh menggunakan pengalamannya sebagai bekas Menteri Belia dan Sukan serta kebijaksanaannya membawa naik pasukan bola sepak Kelantan daripada Liga Perdana terus ke Liga Super.

Masuk final Piala Malaysia, Piala FA dan rangkul kejuaraan trebel dua kali berturut-turut. Semuanya dalam masa yang singkat.

Annuar juga menjenamakan semula pasukan yang dulu dikenali sebagai skuad kijang kepada The Red Warriors (TRW) menggambarkan sifat pahlawan dalam diri pemain dan disemarakkan dengan sokongan penyokong yang tidak berbelah bagi.

Bola sepak menjadi satu industri, KAFA mengeluarkan berpuluh jenis barangan atas nama TRW. Dan harga tiket untuk setiap perlawanan melambung disebabkan permintaan yang tinggi.

Annuar berjaya bukan beliau seorang. Annuar disokong oleh pemimpin UMNO yang lain, yang berada di dalam KAFA seperti Datuk Ahmad Jazlan Yakob, Datuk Rosmadi Ismail dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Tokoh-tokoh ini mengangkat Kelantan sebagai sebuah gergasi bola sepak pantai timur dan membuang segala persepsi negatif terhadap pasukan ini.

Namun akhirnya mereka tidak mampu bertahan kerana kantung semakin kosong. Negeri lain pula memperuntukkan wang yang besar untuk pasukan. Mudah cerita kerajaan negeri memberi sokongan yang 110 peratus kepada pasukan bola sepak.

Di Malaysia, sejak berpuluh tahun dahulu, bola sepak disokong oleh kerajaan negeri. Tajaan daripada luar hanya menjadi pelengkap dan kebanyakkan tajaan tersebut daripada syarikat milik kerajaan negeri sendiri.

Tetapi di Kelantan lain pula ceritanya. Kerajaan negeri yang ditunjang oleh PAS tidak mahu masuk campur. Sebelum dikatakan puak-puak UMNO yang kawal KAFA tetapi bila nak diserahkan keseluruhan pengurusan KAFA kepada kerajaan negeri ditolak pula.

Disaat-saat getir, KAFA dalam kemelut untuk terus hidup, timbul seorang hero daripada PAS, Datuk Takiyuddin Hassan. Beliau melancarkan Tabung Dana Penyelamat Bola Sepak Kelantan.

Tabung itu dianjurkan oleh Badan Bertindak Bola Sepak Kelantan (BBSK) yang dianggotai bekas-bekas pemain era 70-an dan 80-an.

Takiyuddin bukan orang baru dalam bola sepak. Antara jawatan yang disandang oleh Ahli Parlimen Kota Bharu itu ialah Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Kelantan, bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia dan bekas Ahli Majlis FAM.

Ini membuktikan beliau sudah cukup ilmu dalam pengurusan bola sepak tambahan pula latar belakang beliau seorang peguam dan bekas Majistret.

Jadi bertindak dengan mengutip derma sahaja tidak cukup. Adalah lebih baik beliau menerajui KAFA.

Sukan bukan tempat untuk berpolitik. Buktikan bahawa pemimpin PAS juga mampu membina kecemerlangan dalam dunia bola sepak tanah air.

Dan jangan pula kata, ini sandiwara UMNO kerana Perdana Menteri sudah menyatakan kesediaan untuk membantu serta meminta Annuar untuk terus membantu KAFA.

Peluang sudah untuk menjadikan KAFA sebagai sebuah Biro PAS Kelantan kenapa harus ditolak. Kenapa harus berpusing-pusing cerita? Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz tidak perlu main sedap hati tulis dalam facebook. Sahut cabaran terajui KAFA. Jangan jadi dayus?

Apakah PAS terutamanya Takiyuddin dan Nik Abduh takut untuk berhadapan dengan Husam Musa yang juga dilihat layak memimpin KAFA?

Terus saja, jadikan KAFA sebagai sebuah Biro PAS Kelantan. Jangan sandiwara lagi.