Tuntutan Abdul Fatah Dibatalkan, Mahkamah Tetap Perbicaraan Kes 12 Mac Hadapan

Proses mediasi berkaitan tuntutan Yang Dipertua PAS Rantau Panjang, Abdul Fatah Haron supaya membekukan bayaran berjumlah RM5 juta oleh syarikat perumahan negara (PRIMA) kepada Gallery Tani Sdn. Bhd., dibatalkan hari ini berikutan pihak terbabit gagal mendapat persetujuan.

Justeru, Mahkamah Tinggi Kota Bharu menetapkan perbicaraan kes tersebut akan berlangsung pada 12,13 dan 14 Mac tahun hadapan.

Deklarasi yang melibatkan Abdul Fatah Haron sebagai plaintif dan defendan, Galeri Tani Sdn. Bhd. yang dimiliki oleh Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali, Bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dan anak-anak bekas Bendahari PAS Kelantan, Allahyarham Wan Othman Wan Yusuf sepatutnya didengar dihadapan Pesuruhjaya Kehakiman Dato Ahmad bin Bache dalam kamar makhamah tinggi hari ini.

Bagaimanapun, oleh kerana tiada persetujuan kedua-dua pihak, pendaftar mahkamah menetapkan kes ini akan dibicarakan seperti ditetapkan oleh pihak mahkamah.

Sementara itu, Abdul Fatah akur dengan keputusan mahkamah walaupun sebelum ini beliau mahu menyelesaikan kes tersebut di luar mahkamah.

“Bagi pihak saya memang kes ini kita mahu menyelesaikan di luar makhamah seperti yang dinasihati oleh hakim.

“Oleh kerana pihak plaintif mahu perkara ini dibicarakan mengikut proses biasa, saya akan membuat persiapan yang perlu bagi menegakkan keadilan,” katanya.

Untuk rekod, Syarikat Galeri Tani Sdn. Bhd. ditubuhkan pada 23 Ogos 1995, menyebut bidang perniagaanya sebagai Property Investment dan Developer, ia dimiliki oleh tiga pemimpin PAS, Abdul Halim (memegang syer sebanyak 330,000 unit), Mustapa (170,000 unit syer), manakala seorang lagi Wan Othman Wan Yusuf berserta enam perempuan yang dikatakan anak-anak arwah Wan Othman, bekas bendahari PAS Kelantan.

Kes ini dikatakan berkait dengan sebidang tanah seluas 200 ekar di Rantau Panjang. – 22 Disember 2016.