8 Keluarga Pindah Rumah Dinaiki Air

Seramai 36 orang daripada lapan keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Tiong, Kota Bharu selepas kediaman mereka dinaiki air hari ini.

Rata-rata mereka dari Kampung Tiong mula dipindahkan tengah hari ini selepas paras air di kawasan itu mencecah 1.5 meter ekoran hujan lebat berterusan di kebanyakan kawasan di daerah tersebut sejak malam tadi.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah, Wan Shukri Wan Ayub berkata, pusat pemindahan SK Tiong dibuka secara rasmi pada pukul 2.30 petang.

“Mangsa banjir terdiri daripada lapan keluarga membabitkan 36 individu. Daripada jumlah ini terdapat dua bayi, 13 kanak-kanak dan seorang warga emas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, laman web Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mencatatkan paras air Sungai Golok di Rantau Panjang setakat pukul 6.30 petang ini mencecah 8.24 meter, iaitu melebihi paras amaran 8 meter.

Bagaimanapun, sungai-sungai lain di seluruh negeri ini masih di paras normal.

Catatan taburan hujan harian mengikut stesen pula melaporkan cuaca mula baik di semua tempat sejak pukul 5 petang. – 23 Disember 2016.