Bunuh Warga Emas, Polis Buru 2 Lagi Suspek

Polis Kelantan sedang memburu dua lagi suspek dipercayai boleh membantu kes samun dan bunuh seorang wanita warga emas dii Kampung Kuala Gris, Dabong, Isnin lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata, satu pasukan khas serta unit anjing pengesan (K9) dikerah memburu suspek yang dipercayai masih bersembunyi di kawasan hutan berhampiran kampung berkenaan.

Beliau berkata, hasil soal siasat terhadap anak lelaki tunggal mangsa serta dua rakannya, polis berjaya merungkai kes itu dan identiti kedua-dua suspek yang berusia antara 20-an hingga 30-an.

“Kedua-dua suspek juga disyaki mempunyai niat menculik anak lelaki mangsa berikutan anak lelaki mangsa berhutang dengan suspek iaitu berjumlah RM30,000 berkaitan dadah,” katanya dalam sidang media di kediamannya hari ini.

Ab. Rahman berkata, polis juga sudah mengesan tempat persembunyian dua suspek terbabit di dalam hutan berkenaan.

Polis juga katanya, telah menemui motosikal jenis Yamaha RXZ yang sudah dileraikan komponennya, khemah untuk suspek berlindung serta satu kad pengenalan dipercayai milik seorang suspek.

“Kita percaya polis akan dapat menangkap suspek dan akan menyelesaikan kes berkenaan dalam masa terdekat,” katanya. – 23 Disember 2016.