Pastikan BN Menang Di Bachok

Rakyat di kawasan Parlimen Bachok harus memastikan kemenangan UMNO dalam pilihan raya umum akan datang bagi menjamin lebih banyak pembangunan.

Ahli Parlimennya, Datuk Dr. Awang Adek Husin berkata, kesedaran daripada rakyat perlu ada memandangkan Bachok adalah kawasan yang berpotensi untuk dimajukan dalam pelbagai sudut.

Menurutnya, Bachok mempunyai banyak peluang ekonomi kerana sebahagian daripada penduduknya terlibat dengan pertanian dan perikanan.

“Kawasan Bachok perlu dibangunkan dan suasana politik juga memainkan peranan penting kerana ia boleh membantu untuk membangunkan sesebuah kawasan.

“Kita berharap agar dapat memenangi PRU nanti kerana kawasan yang kalah susah untuk dimajukan. Kita berharap rakyat di sini dapat menilai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Program Peningkatan Pendapatan Petani Berskala Kecil 2016 kawasan Tawang di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Beris Kubor Besar hari ini.

Pada majlis tersebut, seramai 141 orang menerima pelbagai jenis bantuan yang berjumlah keseluruhan sebanyak RM250,000. – 23 Disember 2016.