Red One Berhasrat Jadi Penaja Utama, Peluang TRW Kembali Cerah

Isu kemelut kewangan yang melanda Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) ketika ini bakal selesai apabila sebuah syarikat telekomunikasi Red One Network Sdn. Bhd., tampil menyatakan hasrat untuk menjadi penaja utama The Red Warriors (TRW).

Ia sekali gus membayangkan peluang TRW untuk kekal bersaing dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim hadapan kembali cerah.

Ketua Pegawai Pemasaran Red One Network Sdn. Bhd., Ben Teh berkata, pihaknya berhasrat menjadi penaja utama selepas dua musim mengikat kontrak selaku penaja bersama bagi memastikan penyertaan pasukan itu tidak berkubur begitu sahaja dalam saingan liga domestik itu.

“Kita lihat KAFA dalam situasi sukar sekarang dan mereka ada bertanya sama ada red One hendak kekal jadi penaja atau tidak. Saya rasa hendak taja itu tidak jadi masalah, kita ada persamaan dari segi warna (merah) dan kita sudah dua tahun bersama KAFA.

“Setakat ini, belum ada perbincangan rasmi dengan KAFA tetapi kita bersedia berbincang lebih lanjut, bagaimana red One boleh bantu KAFA pada musim depan,” katanya dalam sidang akhbar di Kota Bharu.

Beliau bagaimanapun tidak memaklumkan jumlah tajaan namun, difahamkan bakal melibatkan tajaan bernilai jutaan ringgit.

Beliau memberitahu, satu pertemuan di antara pihaknya bersama pengurusan tertinggi KAFA akan diadakan bagi merealisasikan hasrat tersebut, sebelum 29 Disember ini.

Mengulas lanjut, nilai tajaan bukan menjadi persoalan tetapi keuntungan bersama di sebalik penajaan itu adalah yang penting.

“Bagi saya, penajaan untuk sukan, bukan kita yang kena tentukan sama ada pasukan itu perlu menang atau tidak, itu adalah urusan mereka. Tujuan kita menyokong adalah untuk mendapatkan publisiti, kalau taja untuk menang, lebih baik kita taja pasukan juara sahaja,” katanya.

Pada 17 Disember lalu akhbar melaporkan, KAFA kian terdesak apabila perlu mencari dana sebanyak RM14.2 juta dalam tempoh hanya dua minggu untuk memastikan pasukan bola sepak negeri ini kekal bersaing dalam Liga M pada musim depan.

Berikutan itu, Barisan Bertindak Bola Sepak Kelantan (BBSK) yang diterajui Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan mendesak kerajaan negeri campur tangan untuk menyelesaikan isu ‘kantung kering’ dihadapi KAFA yang mungkin menarik diri daripada Liga M. – 22 Disember 2016.