BR1M Sama Dengan Bantuan lain, Dr. Mahathir Kelirukan Rakyat

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak menyangkal dakwaan BR1M sebagai rasuah.

Sambil menyifatkan dakwaan tersebut mengundang kekeliruan, beliau mempersoal bantuan Wang Ihsan yang diperkenalkan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau juga turut mempertikaikan kenyataan bekas perdana menteri itu yang sanggup mengklasifikasikan program bantuan untuk rakyat sebagai rasuah.

“Wang Ihsan adalah program bantuan khas khusus untuk Terengganu. Selepas melaksanakan program bantuan Wang Ihsan, kini Dr. Mahathir menukar pendirian dan mengutuk BR1M,”

“Bagaimana Dr. Mahathir boleh mengklasifikasikan program bantuan sebagai rasuah? Bagaimana pula dengan pemberian pelepasan cukai dan rebat lain, adakah itu juga dikatakan rasuah? Bagaimana pula bantuan zakat? Semua bentuk bantuan itu sama seperti BR1M?

“Adakah Dr. Mahathir ingin katakan jika pembangkang berkuasa kelak, semua program bantuan dan kebajikan akan dimansuhkan? Mahathir perlu menjelaskan tentang perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman blognya sskeruak.blogspot.my hari ini.

Semalam, Dr. Mahathir dilaporkan berkata, pemberian BR1M adalah rasuah dan salah di sisi undang-undang.

Beliau mendakwa, Perdana Menteri Datuk, Seri Najib Tun Razak menggunakan kaedah itu bagi meraih sokongan rakyat. – 26 Disember 2016.