Mayat Kanak-kanak Lemas Ditemui Terdampar Di Pesisir Pantai

Mayat seorang kanak-kanak lelaki yang lemas di Pantai Irama Sabtu lepas ditemui pagi ini.

Mayat Nik Abdul Aziz Al-Fathoni Abdul Halim, 6, ditemui terdampar di pesisir pantai Kampung Tanjung, kira-kira lima kilometer dari lokasi mangsa terjatuh.

Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Asisten Superintendan Azmi Mokhtar memberitahu, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat.

Dengan penemuan mayat mangsa itu katanya, operasi mencari dan menyelamat kini ditamatkan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang Sabtu lalu, mangsa dikatakan lemas selepas terjatuh ketika bermain bersama adiknya, Abdul Hadi, 4, dan abangnya, Nik Abdullah Azzam, 9. – 26 Disember 2016.