Nyaris Lemas Semasa Operasi

Seorang anggota penyelamat nyaris lemas semasa menjalankan operasi mencari dua remaja yang hilang di Pantai Tok Bali, hari ini.

Anggota terbabit bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh sembilan anggota penyelamat lain dalam operasi yang sama.

Kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari, mangsa, Azuan Danial, 20, dari Angkatan Pertahanan Awam (APM) dikatakan sesak nafas secara tiba-tiba ketika operasi tersebut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Penolong Penguasa Bomba Azhar Elmi Mustofar berkata, anggota terbabit dibawa ke Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh untuk rawatan lanjut.

Mengulas mengenai operasi yang bersambung hari ini, beliau berkata, gerakan mencari menghadapi kesukaran berikutan laut bergelora.

“Keadaan laut yang masih bergelora menyukarkan operasi mencari yang telah dilaksanakan sejak petang semalam.

“Ini termasuk pemantauan di sekitar tiga kilometer pantai dan Agensi Penguatkuasaan Maritim menggunakan aset lautnya dengan memperluaskan sehingga lima batu nautika,” katanya.

Dalam kejadian jam 4.30 petang semalam, Ahmad Haziem Anizam, 14 dan Amir Azfar Rafa, 13, hilang ketika mandi di pantai berkenaan bersama dua rakan mereka.

Dua rakan mereka, Mohd Firdaus Mustafa, 16, dan Amir Sahir Zakima, 13, berjaya diselamatkan. – 26 Disember 2016.