Operasi Mencari Remaja Hilang Di Pantai Tok Bali Disambung Pagi Ini

Jabatan Bomba, polis dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) hari ini menyambung semula operasi mencari dan menyelamat dua remaja yang hilang ketika mandi di Pantai Tok Bali, petang semalam.

Operasi itu bermula jam 8 pagi selepas ditangguhkan tengah malam tadi.

Ketua Pegawai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Azhar Elmi Mustophar berharap, kedua-dua mangsa dapat ditemui selepas operasi mencari diperluaskan sehingga lima batu nautika.

“Operasi diperluaskan sehingga lima batu nautika ke Bachok dan tiga batu nautika ke Besut,” katanya.

Operasi itu membabitkan dua kapal milik APMM, tujuh bot bomba, dua bot polis.

Dalam kejadian jam 4.30 petang semalam, Ahmad Haziem Anizam, 14 dan Amir Azfar Rafa, 13, hilang ketika mandi di pantai berkenaan bersama dua rakan mereka.

Dua rakan mereka, Mohd Firdaus Mustafa, 16, dan Amir Sahir Zakima, 13, berjaya diselamatkan. – 26 Disember 2016.