Tiga Kawasan ‘Kelabu’ Jadi Tumpuan UMNO Kelantan

Tiga parlimen yang dianggap kawasan ‘kelabu’ akan menjadi fokus utama UMNO Kelantan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, tiga Parlimen itu ialah Bachok, Pasir Puteh dan Kuala Krai.

Katanya, di kawasan berkenaan UMNO hanya tewas kurang daripada 1,000 undi dan ia mempunyai potensi untuk menang pada pilihan raya umum akan datang dengan kerja kuat seluruh jentera parti.

“Saya dan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan) serta Ketua UMNO bahagian akan mengadakan program jelajah kecil ke setiap peti undi di ketiga-tiga Parlimen itu.

“Dalam jelajah itu, kami akan melihat perancangan dan persiapan yang dilakukan oleh anggota jawatankuasa peti undi di ketiga-tiga Parlimen tersebut,” katanya.

Mustapa memberitahu, program jelajah kecil itu merupakan sebahagian daripada Program Gelombang Merah yang dilancarkan oleh UMNO Kelantan bagi menawan kembali Kelantan daripada PAS pada PRU14 nanti.

Dalam pada itu, Mustapa yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan berkata, pihaknya juga akan mempertahankan lima kerusi Parlimen yang dimenangi pada PRU13.

Beliau berkata, lima kerusi berkenaan ialah Gua Musang, Jeli, Tanah Merah, Machang dan Ketereh.

“Selain itu, BN akan berusaha untuk meningkatkan jumlah undi di kelima-lima Parlimen terbabit,” katanya. – 26 Disember 2016.