PH Bukan Parti ‘Tepung Bungkus’, UMNO Perlu Ubah Strategi

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) telah sahkan kerjasamanya dengan pembangkang untuk melawan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Keputusan itu ternyata menjadi berita gembira kepada rakan mereka iaitu PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN).

Kelantan juga turut terkena tempias ini, kerana apabila pembangkang sudah bergabung, tidak kira negeri mana, mereka akan menular masuk.

Pakatan Harapan (PH) bukan parti ‘tepung bungkus’ yang terhad dalam bungkusan itu saja.

PH adalah parti ‘seluar jeans’. Di mana-mana saja mereka ada, dari utara sampai ke selatan dan dari barat sampai ke ufuk timur. Mereka akan menguasai seluruh pelosok bumi Malaysia.

Parti jenis menular ini sangat bahaya. Mereka boleh masuk ke kampung-kampung dan desa-desa. Mereka boleh berada di kawasan pinggir bandar, luar bandar dan bandar untuk mempengaruhi orang ramai supaya menyokong mereka.

PH tidak menggunakan jentera yang besar atau canggih. Cukup mereka bergerak dalam kelompok kecil yang terdiri dari lima hingga 10 orang untuk berada di setiap kawasan Pusat Dalam Mengundi (PDM).

Mereka bergerak seperti anai-anai. Memakan isi kayu secara senyap-senyap sehingga kelontong di dalamnya.

Kita yang alpa ini melihat kayu tiang, kayu palang dan kayu bumbung macam elok, macam tidak ada apa-apa yang berlaku, tetapi jika kita sentuh saja kayu itu terus patah. Tidak memberi sebarang amaran lagi untuk runtuh dan menimpa kepala kita.

Penulis tahu, kepimpinan UMNO Kelantan banyak strategi dan kesiapsiagaan dalam menghadapi PRU, tetapi sudah enam kali PRU sejak 1990, UMNO dan BN negeri masih belum membentuk kerajaan.

Maknanya, kepimpinan UMNO negeri perlu ubah strategi lama dan mendapatkan pandangan serta idea daripada pelbagai pihak untuk membaca strategi lawan, sekali gus mematahkan kemaraan mereka.

Kalau pembangkang bergerak macam anai-anai, sudah tentu UMNO perlu menjadi racun yang boleh mematikan anai-anai itu daripada terus merosakkan kayu.

Untuk menjadi racun, perlu tahu apa ramuan yang ditakuti atau boleh membunuh anai-anai itu.

Kali ini, penulis yakin dan percaya kepimpinan UMNO negeri tidak secuai dulu lagi. Kepimpinannya dipercayai telah pun siap siaga dan cuma menunggu masa untuk digerakkan.

Cuma, jangan terlalu mengambil masa untuk menggerakkan jentera, kerana pembangkang sudah lama berada di akar umbi menjadi kutu menghisap darah.

Berbalik kepada PAS. Parti ini telah nekad untuk berada dalam blok ketiga pembangkang bersama Parti IKATAN dan BERJASA.

Walaupun, dua rakannya itu tidak masyhur, tetapi pemimpin mereka pernah beberapa kali bertanding dalam pilihan raya, menang dan menjawat jawatan menteri dalam kabinet BN.

Semua ini tidak boleh dipandang kecil oleh UMNO dan BN. Segalanya berkemungkinan. Yang tidak ada nama boleh menang, yang termasyhur boleh kalah. Itu kehendak rakyat.

UMNO harus mengambil kesempatan ketika PAS bersendirian untuk menjadi rakan atau sahabat pendamping.

Beri nasihat, pujuk mereka supaya menerima UMNO dan BN sebagai kawan untuk sama-sama menyekat nafsu PH yang membuak-buak hendak menjatuhkan kerajaan memerintah sekarang.

Tapi, dalam usaha nak mendekati PAS kenalah beringat. PAS ketika ini sedang menjaga dan merawat lengan yang dipatuk ular.

Sudah tentu kalau berjumpa dengan ular lagi, PAS akan ambil sikap berhati-hati dan seboleh-bolehnya cuba mengelak daripada terkena patukan kali kedua di tempat yang sama.

Itu perumpamaan untuk PAS. Untuk UMNO pula umpama tarik rambut dalam tepung. Rambut tidak putus, tepung tidak terburai.