Pusat Pemindahan Banjir SK Tiong Ditutup

Pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Tiong, ditutup hari ini selepas keadaan cuaca semakin baik selain air telah surut sepenuhnya.

Pentadbir Mukim Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Tumboh, Wan Azizi Abdul Ghani memberitahu, kesemua 42 mangsa dari Kampung Tiong, Taman Tiong dan Kampung Seribong dibenarkan pulang jam 11 pagi ini.

“Air sudah surut sejak kelmarin, namun mereka diminta terus berada di pusat pemindahan kerana Jabatan Meteorologi meramalkan hujan lebat mulai semalam sehingga esok.

“Namun, memandangkan tidak berlaku hujan lebat, mereka dibenarkan pulang hari ini,” katanya semasa dihubungi hari ini. – 27 Disember 2016.