BR1M Rasuah: Wan Azizah Tidak Setuju Dakwaan Dr. Mahathir

Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menyangkal dakwaan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah rasuah.

Ketua pembangkang itu berkata, bantuan tersebut perlu diberikan oleh kerajaan kepada rakyat kerana ia menjadi tugas mereka untuk membantu.

“Dan mereka layak untuk mendapatkan bantuan ini daripada kerajaan dan ia perlu diberikan,” katanya.

Beliau berkata, kritikan terhadap BR1M adalah kerana tidak semua layak untuk mendapatkan bantuan kewangan itu.

“Bukan semua orang mendapat BR1M, tetapi semua orang mendapat GST,” katanya.

Baru-baru ini Dr. Mahathir mendakwa BR1M sama seperti rasuah dan oleh itu ia adalah haram atau jenayah dari sudut undang-undang.

Apabila ditanya sama ada PKR sudah tidak meletakkan harapan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri, Dr Wan Azizah bagaimanapun kekal optimis.

“Siapa yang cakap? Jangan pernah berkata tidak,” katanya ringkas. – 28 Disember 2016.