Operasi Mencari Remaja Hilang Pantai Tok Bali Dipertingkat

Operasi mencari dua remaja hilang di Pantai Tok Bali masuk hari keempat hari ini ditingkatkan dengan Unit Udara Maritim Malaysia.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan, Kapten Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, unit tersebut menggunakan helikopter AW139 diketuai
Mejar Shamsul Ehsan untuk gerakan mencari.

“Helikopter berkenaan mendarat di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Bali pagi ini dan semua anggota unit udara itu diberi taklimat khas mengenai logistik dan kejadian yang berlaku,” katanya ditemui hari ini.

Dalam kejadian Ahad lepas dua remaja, Ahmad Haziem Anizam, 14, dan rakannya, Amir Azfa Rafar, 13 dilaporkan hilang semasa mandi di pantai berkenaan pada pukul 4.15 petang.

Nurul Hizam berkata, operasi hari ini turut melibatkan kerjasama 27 buah bot Sukarelawan Nelayan Perikanan (Nelayan Super) dan tujuh bot nelayan laut dalam kelas B dan C yang berpangkalan di Tok Bali menjalankan operasi memukat dari lokasi kejadian hingga ke Pantai Irama.

Antara agensi terlibat dalam operasi tersebut ualah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Di Raja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan lai-lain termasuk sukarelawan dan badan bukan kerajaan.

Turut memantau lokasi kejadian ialah Pengarah Bomba Kelantan, Azmi Osman. – 28 Disember 2016.