Bantu KAFA, Kerajaan Negeri Tunggu 1 Januari

Kerajaan PAS Kelantan memberi tempoh 1 Januari ini untuk membuat keputusan sama ada akan membantu menyelesaikan krisis kewangan dihadapi Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bagi membolehkan The Red Warriors (TRW) beraksi dalam Liga Malaysia {Liga M) musim depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob akan membuat keputusan itu selepas pembentangan mengenainya di lakukan oleh KAFA.

“Kita akan tunggu KAFA buat pembentangan kepada kerajaan negeri pada 1 Januari nanti. Kita akan keluarkan kenyataan hanya selepas pertemuan itu, yang dijadual berlangsung sebelah petang,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Kongres Rakyat Kelantan, hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Fattah membayangkan kerajaan negeri akan memikirkan langkah terbaik bagi memastikan pasukan Kelantan kekal bersaing dalam Liga M musim depan.

Kongres khas KAFA hari ini memutuskan untuk meneruskan hasrat menarik diri daripada Liga M, namun memberi peluang kepada barisan Exconya mencari dana sekurang-kurangnya RM3 juta sebelum 6 Januari jika mahu keputusan tersebut dibatalkan.- 29 Disember 2016.