BR1M: Pembangkang Terus Celaru

Perbezaan pandangan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan presiden parti itu, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berhubung isu pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) menyerlahkan lagi kecelaruan pembangkang.

Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Md. Alwi Che Ahmad, berkata, jelas pemimpin pembangkang gagal menemui titik persamaan berhubung sesuatu perkara.

“Saya lihat kenyataan Wan Azizah dan Azmin ini bercanggah, Wan Azizah mungkin sedikit ikhlas kerana menyokong pemberian BR1M manakala Azmin terus bermain politik kononnya bantuan tersebut adalah sogokan politik.

“Jadi saya serahkan kepada rakyat untuk menilai,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kok Lanas semalam.

Kelmarin, Mohamed Azmin ketika ditemui selepas memberi keterangan kepada polis di Ibu pejabat Polis Daerah Shah Alam, Selangor mengibaratkan BR1M sebagai sogokan politik.

Sebelum itu, Wan Azizah menyangkal dakwaan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menganggap program BR1M sebagai rasuah.

Wan Azizah berkata, BR1M memang sepatutnya diberikan kepada rakyat kerana ia adalah hak mereka. – 31 Disember 2016.