Kelantan Dan Kerajaan ‘Pasir Berdengung’

Rakyat Kelantan ada kira-kira 1.5 juta. Luas Kelantan juga 1.5 juta hektar. Daripada luas itu, 800,000 hektar adalah kawasan berhutan yakni kira-kira 54 peratus daripada keluasan Kelantan manakala selebihnya kurang lebih 700,000 hektar adalah kawasan tidak berhutan.

Kawasan berhutan dibahagikan kepada tiga kategori, pertama, Hutan Simpan Kekal yang merangkumi 77 peratus daripada keseluruhan kawasan tersebut diikuti Taman Negara 13 peratus manakala 10 peratus lagi adalah tanah milik kerajaan.

Kawasan Hutan Simpan Kekal berkeluasan lebih 600,000 hektar namun hanya 23 peratus daripadanya iaitu kira-kira 146,000 hektar dikategorikan sebagai kawasan perlindungan.

Kawasan perlindungan bermaksud kawasan yang tidak boleh diusik, hutannya mesti kekal di situ.

Baki 77 peratus iaitu 478,000 hektar dikategorikan sebagai hutan pengeluaran.

Hutan pengeluaran bermaksud kawasan itu boleh diteroka yakni hasilnya iaitu balak boleh dikeluarkan dijual dan tanahnya juga boleh dilombong jika ada hasil bumi seperti emas, bijih besi atau bijih timah.

Ini bererti Kerajaan PAS Kelantan membenarkan lebih 500,000 hektar (termasuk 10 peratus tanah kerajaan) diteroka untuk mendapatkan hasilnya.

Tanah tersebut boleh dibuat apa saja dan tanah itu sering kali dijadikan sebagai ladang hutan atau getah klon.

Apabila status tanah tersebut diubah, ini beerti, semua kawasan tersebut boleh dibersihkan, tidak kira pokok itu kecil atau besar.

Jika atas lesen pembalakan, kawasan tersebut tidak boleh dicuci bersih kerana hanya kayu yang bertanda dan diluluskan oleh Jabatan Perhutanan saja boleh dibawa keluar.

Kerana kerakusan itu juga pensijilan Kayu Kayan FMU negeri Kelantan di bawah Malaysian Timber Certificatin Scheme (MTCS) telah ditarik balik pada 23 November lalu kerana gagal mematuhi peraturan dan penubuhan kawasan Ladang Hutan tidak memenuhi piawai Malaysia Criteria and Indicator (National Forest).

Ini bererti juga, kayu balak dari Kelantan sudah tidak laku untuk dijual di negara maju seperti di Eropah dan Australia kerana negara tersebut amat mementingkan alam sekitar dan mereka menolak mana-mana kayu walaupun berkualiti tinggi sekiranya dikeluarkan dari negeri atau negara yang tidak menjaga alam.

Dalam masa sama, untuk mengelak daripada tindakan Jabatan Alam Sekitar, kawasan itu dipecahkan supaya keluasannya tidak mencapai kepada tahap yang perlu menyediakan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA). Siapa yang manipulasi syarat longgar ini, pemimpin Kerajaan PAS Kelantan atau pembalak – tidak dapat dipastikan – hanya mereka sahaja yang tahu.

Dan disebabkan tidak ada EIA, alam punah. Bukit jadi botak, air sungai keruh, tanah pula tidak mampu menyerap air hujan lagi, dan itulah sebabnya Bah Kuning 2014 berlaku.

Manusia boleh ditipu tetapi alam tidak sama sekali malah alam akan menghukum manusia yang penipu.

Tetapi yang peliknya, hasil daripada kayu kayan (dibaca balak) ini tidak sebesar mana hanya RM177.02 juta pada tahun ini – rujuk bajet Kerajaan Negeri Kelantan 2017) – walaupun ia menjadi penyumbang utama kepada pendapatan Kerajaan PAS Kelantan.

Ironinya, sudahlah ditipu oleh ‘lanun-lanun darat’, alam pula musnah dan rakyat menanggung akibat.

Dan demi menutup segala kesalahan, Kerajaan Pusat yang ditunjang oleh Barisan Nasional (BN) disalahkan puak-puak lebai ini kononnya Kerajaan Pusat zalim. Walhal yang sebenarnya mereka menzalimi rakyat negeri ini.

Harta habis tetapi rakyat tidak dapat apa. Inilah cerita pemerintah Negeri Serambi Mekah yang sama dengan Kerajaan Pasir Berdengung.

Soalnya sampai bila kita mahu hidup begini. Mari kita berubah, masanya sudah tidak lama lagi.