Mahathir Cemburu Kejayaan Najib – NGO

Tuduhan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai rasuah terbesar membuktikan sikap cemburu Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu atas kejayaan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Presiden Institusi Pemikiran Anak Muda Kelantan (Impak), Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad berkata, ini kerana dalam keadaan ekonomi mencabar hari ini, Najib masih mampu mengekalkan program tersebut yang bertujuan membantu meringankan beban rakyat.

Dalam masa sama, beliau menegaskan, kenyataan Dr. Mahathir itu juga secara tidak langsung telah mengguris hati rakyat di negara ini yang kebanyakkannya menerima bantuan berkenaan.

“Kenyataan Dr. Mahathir itu jelas membuktikan sikap cemburu beliau atas kejayaan Najib yang tidak pernah sempat dilakukan pada era pemerintahannya.

“Pada zaman pemerintahan Dr. Mahathir, beliau tidak mampu menyalurkan bantuan terus kepada rakyat meskipun ekonomi pada masa itu berada dalam keadaan baik. Daripada itu, kita dapat lihat bagaimana kesungguhan Najib membantu rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Kelantan, Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abdul Ghani berkata, rakyat sangat menyukai program BR1M yang dilaksanakan kerajaan sejak tahun 2012 itu.

Katanya, selama ini, belum ada mana-mana Perdana Menteri termasuk Dr. Mahathir sendiri pernah mengambil inisiatif untuk memberi bantuan seumpama itu kepada rakyat.

“Jika Dr. Mahathir mengatakan pemberian BR1M itu adalah rasuah, saya nasihatkan penyokong-penyokong partinya atau pembangkang lain tidak menerima bantuan tersebut.

“Kerajaan telah melakukan sebaik mungkin bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat. Dr. Mahathir sepatutnya tidak boleh mengeluarkan kenyataan begitu,” katanya.

Presiden Angkatan Generasi Muda Kelantan (Agenda), Mohd. Zaidan Abdul Rahim pula berkata, bekas Perdana Menteri itu tidak sepatutnya menjadikan isu pemberian BR1M sebagai bahan politik.

“Rakyat tidak boleh terima tuduhan Dr. Mahathir bahawa pemberian BR1M adalah rasuah. Sebagai rakyat Malaysia, saya juga cukup terkilan,” katanya. – 31 Disember 2016.