Orang Asli Terus Aktif Buat Sekatan

Masyarakat Orang Asli di Gua Musang masih bersemangat dan meneruskan sekatan biarpun mereka berhadapan dengan hujan dan keadaan lembab di kawasan penempatan mereka di pedalaman daerah itu.

Wakil penduduk Kampung Pos Pasik, Jamali Ayau, 29, berkata, penduduk Orang Asli masih lagi aktif membuat sekatan di tiga kawasan Hutan Simpan Perias dan Hutan Simpan Balah.

Katanya, penduduk nekad untuk melakukan sekatan kerana ingin mempertahankan kawasan penempatan mereka daripada terus dimusnahkan pembalak.

“Kami menyedari kerajaan negeri masih lagi tidak mengendahkan keluhan serta rintihan kami yang mahukan tanah adat kami diwartakan.

“Kami tidak akan berputus asa dan akan tetap berkumpul di kawasan sekatan sehinggalah tuntutan kami didengar oleh kerajaan negeri.

“Sehingga kini lebih 300 penduduk masih lagi berkumpul di kawasan Simpang Petei, Pos Tohoi, Betau Cawas, Pos Bihai dan Kelawong, Pos Pasik,” katanya.

Dua sekatan pertama dibina oleh penduduk kira-kira dua bulan lalu namun selepas diruntuhkan oleh pihak berkuasa mereka membina tiga lagi penghalang baharu di kawasan berbeza.

Pembalakan di kawasan pedalaman Gua Musang menjadi polemik yang berpanjangan apabila masyarakat Orang Asli mendesak Kerajaan PAS Kelantan supaya mewartakan Hutan Simpan Balah sebagai kawasan tanah adat mereka.

Seorang lagi penduduk, Andak Along, 30, yang mengawal di kawasan Betau Cawas, Pos Bihai berkata, penduduk masih lagi bersemangat untuk mempertahankan hak mereka.

Katanya, ketika ini penduduk tidak kisah dengan cuaca hujan di kawasan perkampungan mereka sehingga menyebabkan jalan balak rosak teruk.

“Kami sedih apabila tibanya musim tengkujuh kita dapat melihat dengan jelas hakisan bukit di penempatan kami, air sungai yang kotor serta berkeladak menghanyutkan sisa kayu.

“Kami bimbang sekiranya hujan lebat berterusan akan mengakibatkan banjir lumpur di penempatan kami,” katanya. – 31 Disember 2016.