Beri Layanan Terbaik Kepada Mangsa – Shahidan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim mengingatkan, petugas banjir agar memberi layanan terbaik kepada mangsa yang berdepan kesulitan.

Beliau berkata, sepanjang berada di pusat pemindahan, mangsa banjir tentunya terbelenggu dengan pelbagai kesedihan termasuk memikirkan keadaan rumah yang ditinggalkan.

“Kita tidak mahu wujud masalah berbangkit, maka berilah layanan terbaik kepada mereka. Saya melepaskan beberapa program dan terbang ke sini dari Alor Setar sebaik mengetahui banjir melanda,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa, lewat malam tadi.

Shahidan berkata, pengurusan bencana banjir di Terengganu dan Kelantan berjalan lancar setakat ini dengan keanggotaan mencukupi, selain turut dibantu badan bukan kerajaan (NGO) bagi urusan memindahkan mangsa.

“Kali ini kita lebih bersedia dan bekalan makanan untuk mangsa banjir di dua negeri itu juga mencukupi,” katanya. – 1 Januari 2016.