Perkhidmatan KTMB Tumpat – Kuala Lipis Dihenti Seminggu

Berikutan kejadian tanah runtuh, perkhidmatan kereta api antara bandar Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang menghubungkan Tumpat dan Kuala Lipis dihentikan selama seminggu.

Pengurus Wilayah Timur KTMB, Zaid Ibrahim berkata, ia bagi menjalankan kerja-kerja baik pulih di kawasan yang terlibat dengan kejadian tanah runtuh berkenaan.

“Bagaimanapun, perkhidmatan tren ekspres masih berjalan seperti biasa dengan penumpang dari Stesen Kuala Krai, Tanah Merah, Tumpat dan Pasir Mas akan dibawa menggunakan bas ke Stesen Gua Musang sebelum meneruskan perjalanan menggunakan tren ekspres ke bahagian selatan tanah air,” katanya.

Kejadian tanah runtuh dekat Stesen Kuala Gris, Dabong semalam telah mengakibatkan sebuah kereta api antara bandar dari Tumpat ke Kuala Lipis tergelincir.

Menurut Zaid, tren tersebut bertolak dari Stesen Tumpat pada pukul 4.30 pagi menghala ke Kuala Lipis, semasa tiba di sebuah terowong, pemandu tren mendapati berlaku tanah runtuh dan bertindak mengundurkan tren.

“Bagaimanapun, ketika sedang mengundurkan tren tersebut, tiba-tiba tanah runtuh berlaku dan menghempap tren tersebut sehingga menyebabkan ia tergelincir dari landasan,” katanya.

Bagaimanapun tambahnya, kesemua 33 penumpang dan 4 kru tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kesemua penumpang dan 4 kru berkenaan kemudiannya berjalan kaki sejauh 2 kilometer menuju ke Stesen Kuala Gris sebelum dipindahkan dengan bas ke Stesen Dabong.

“Penumpang kemudiannya meneruskan perjalanan ke Kuala Lipis dengan sebuah lagi tren yang menunggu di Stesen Dabong untuk ke destinasi masing-masing,” katanya. – 1 Januari 2016.