Pertemuan Kerajaan Negeri KAFA Ditangguh

Pertemuan antara kerajaan PAS Kelantan dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang sepatutnya diadakan hari ini ditangguh berikutan keadaan banjir yang melanda negeri itu sejak semalam.

Difahamkan, pihak kerajaan negeri yang membuat penangguhan itu kerana Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob terpaksa memberi tumpuan terhadap masalah banjir.

Bagaimanapun, kerajaan negeri dikatakan menetapkan 4 Januari ini untuk pertemuan tersebut.

Pemangku Presiden KAFA, Datuk Seri Affandi Hamzah mengesahkan penangguhan pertemuan itu.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan negeri dan KAFA akan bertemu hari ini bagi membincangkan masalah kewangan yang dihadapi badan induk bola sepak negeri itu.

Exco kerajaan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood memberitahu, keputusan sama ada kerajaan negeri akan membantu KAFA menyelesaikan masalah berkenaan akan diumumkan selepas pertemuan antara KAFA dan kerajaan negeri. – 1 Januari 2016.