Guna Pelajar Jadi Keldai Dadah

Polis Kelantan mengesan taktik pengedar dadah yang menggunakan pelajar untuk membawa masuk bekalan itu dari negara jiran.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr. Ab. Rahman Ismail berkata, ia sebagai helah untuk mengaburi kegiatan terlarang itu daripada dikesan pihak berkuasa.

“Pembabitan pelajar berkaitan dadah di Kelantan agak serius terutama di kawasan Rantau Panjang kerana ada pihak mengambil kesempatan menggunakan golongan ini.

“Pengedar dipercayai menggunakan pelajar yang sentiasa berulang-alik memasuki negara ini untuk belajar bagi menyerahkan dadah kepada pelanggan tanpa diketahui pelajar terbabit.

“Itu antara taktik pengedar mempergunakan pelajar bagi menjadi keldai dadah, namun polis sentiasa memantau keadaan itu,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Ab Rahman memberitahu, seorang pelajar berusia 13 tahun antara 69 individu yang ditahan dalam Ops Tapis Bersepadu Ketua Polis Kelantan, Sabtu lalu.

Operasi membabitkan dua daerah iaitu Kota Bharu dan Bachok itu bermula jam 10 malam kelmarin dan berakhir jam 8 pagi semalam turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM29,650 termasuk pil kuda, heroin dan ketum. – 2 Januari 2017.