KAFA, Kerajaan Negeri Bertemu Hari Ini

Pertemuan antara Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dengan kerajaan PAS Kelantan yang ditunda kepada 4 Januari ini diubah, dan dijangka berlangsung pada hari ini.

Pertemuan itu dijangka akan diadakan di Kompleks Kota Darul Naim pada jam 2.30 petang.

Difahamkan, kerajaan negeri bersetuju bertemu KAFA hari ini sebelum keputusan akhir dibuat sama ada menarik diri atau menyertai saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini pada 6 Januari.

Pertemuan tersebut sepatutnya diadakan semalam namun ditangguh berikutan keadaan banjir yang sedang melanda negeri itu sekarang ini.

Pihak kerajaan negeri menangguhkan pertemuan tersebut kerana Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob terpaksa memberi tumpuan terhadap masalah tersebut.

Sementara itu, Setiausaha KAFA, Datuk Ismail Md Noor mengesahkan tarikh pertemuan terbaru itu yang bakal berlangsung hari ini.  – 2 Januari 2017.