MB Kagum Kerja Menyelamat Berjalan Lancar

Kerajaan PAS Kelantan mengucapkan ribuan terima kasih kepada agensi-agensi kerajaan Pusat serta pelbagai pihak lain yang terlibat dalam kerja-kerja menyelamat dan memindahkan mangsa banjir di negeri itu.

Dalam masa sama, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob turut menzahirkan rasa kagum dan berpuas hati apabila proses pemindahan mangsa banjir ke pusat pemindahan khususnya di Kuala Krai dan Jeli berjalan lancar.

“Terima kasih kepada semua, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ,Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta semua jabatan berkaitan kerana sejak awal-awal lagi sudah turun membantu mangsa,” katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa banjir.

Ahmad turut meluangkan masa melawat beberapa pusat pemindahan selain menghulurkan bantuan kepada mangsa.

Sementara itu, Ahmad juga dilihat sempat memberikan kata-kata semangat dan sokongan moral kepada semua mangsa yang terlibat dengan banjir.

“Saya tidak mahu emosi mangsa terus terganggu . Saya turun untuk memberikan kekuatan supaya trauma mangsa akibat bah kuning dua tahun dulu tidak berulang.

“Apa yang penting sekarang semua harus mengikuti arahan dikeluarkan pihak bertanggung jawab. Kita tidak mahu bencana ini membawa kesan buruk kepada mereka,” katanya. – 2 Januari 2017.