PAN Ibarat ‘Penyapu’ DAP

PAS mengibaratkan parti serpihannya, PAN sebagai ‘penyapu’ DAP apabila bersungguh mempertahankan parti berasaskan kaum Cina itu sejak kebelakangan ini.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara, Khalid Samad sendiri menjadi wira dan benteng DAP, termasuk menentang agenda memperkasakan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU355).

“Apabila orang seperti Khalid `meroyan’ dengan kehadiran pimpinan PAS pada majlis penjelasan Islam anjuran UMNO, ia menunjukkan PAN bimbang dengan peningkatan imej PAS pada mata rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Khairuddin mengulas kenyataan Khalid bahawa PAS hanya membantu memulihkan tanggapan negatif terhadap UMNO/Barisan Nasional (BN) dengan menyertai program bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, anjuran UMNO di luar negara.

Khalid menyifatkan langkah PAS itu sebagai pendekatan yang `tidak sesuai’ kerana kehadiran beberapa pemimpin PAS antaranya Mohd Khairuddin dan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Dr. Izani Husin, bersama Jamil Khir pada sebuah majlis anjuran Kelab UMNO di London menjadi perhatian, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi.

Antara program dianjurkan ialah penjelasan RUU 355 iaitu inisiatif PAS yang disokong oleh Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, kehadiran pemimpin PAS dalam program penjelasan RUU 355 itu adalah antara siri penerangan bagi menjelaskan PAS konsisten memperjuangkan Islam.

“Jika UMNO bersedia membantu PAS dalam usaha RUU 355 menunjukkan UMNO semakin menerima kepentingan bersama memperkasakan Islam. Itulah kejayaan dakwah PAS.

“PAS akan terus membina imej sebagai pejuang agama di mata ahli UMNO,” katanya. – 2 Januari 2017.