Sungai Utama Kelantan Lepasi Paras Bahaya

Dua sungai utama di Kelantan melepasi paras bahaya pagi ini berikutan keadaan banjir yang sedang melanda negeri itu sekarang ini.

Sungai Golok di Rantau Panjang berada pada paras 10.19 meter (m) berbanding paras bahaya 9.0 m, manakala Sungai Kelantan di Kusial 16.90 m berbanding paras bahaya 16 m.

Mengikut Laman web infobanjir.water.gov.my, hingga jam 9 pagi tadi, sungai lain menunjukkan penurunan namun masih berada pada tahap berjaga-jaga termasuk Sungai Kelantan di Jeti Kastam iaitu 3.64 m berbanding paras berjaga-jaga 3.0 m.

Sungai Galas di Dabong menunjukkan bacaan 32.56 m berbanding paras berjaga-jaga 32 m, manakala Sungai Lebir di Tualang menunjukkan bacaan 28.26 m melebihi paras berjaga-jaga 27 m.

Sungai Kelantan di Kuala Krai berada di paras 22.24 m, melebihi paras amaran 20 m.

Sementara itu, beberapa tempat di negeri itu mula menerima taburan hujan lebat termasuk di Gua Musang iaitu 33 milimeter (mm).

Kuala Krai turut menerima taburan hujan lebat iaitu 41mm manakala Tanah Merah 46 mm. – 2 Januari 2017.