Banjir Kelantan Semakin Buruk

Keadaan banjir di Kelantan semakin buruk dengan jumlah mangsa terus meningkat kepada 3,774 orang setakat 8 pagi ini berbanding semalam 1,568 orang.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Zainuddin Hussin berkata, peningkatan ketara berlaku di jajahan Pasir Mas iaitu seramai 2,322 orang daripada 936 keluarga berbanding 241 mangsa daripada 85 keluarga.

“Sebanyak 371 orang daripada 99 keluarga di Kuala Krai; 200 orang (47 keluarga) di Jeli; 533 orang (144 keluarga) di Tanah Merah; 321 orang (83 keluarga) di Machang dan 27 orang (lima keluarga) di Pasir Puteh,” katanya dihubungi hari ini.

Beliau berkata, peningkatan jumlah mangsa banjir terutama di Pasir Mas dan Tanah Merah, berikutan air sungai dari kawasan hulu mengalir ke kawasan berkenaan, selain hujan yang kadangkala lebat masih berterusan.

Ekoran itu, 40 pusat pemindahan dibuka di enam jajahan terbabit bagi menempatkan kesemua mangsa terlibat.

Sementara itu, laman sesawang kerajaan negeri di http://ebanjir.kelantan.gov.my melaporkan dua sungai utama di Kelantan melepasi paras bahaya manakala dua lagi sungai menunjukkan peningkatan paras air pagi ini.

Dua sungai yang melepasi paras bahaya ialah Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah iaitu 17.31 meter (paras bahaya 16m) manakala Sungai Golok di Rantau Panjang yang mencatatkan 10.30m (paras bahaya 9m).

Sungai Galas di Dabong, jajahan Kuala Krai pula meningkat namun masih di paras berjaga-jaga iaitu 34.20m. Paras bahaya bagi sungai berkenaan adalah 38m.

Sungai Lebir di Tualang, Gua Musang pula mencatatkan 32.27m (paras bahaya 35m) dan Sungai Kelantan di Tangga Krai, Kuala Krai pada paras 23.44m (paras bahaya 25m). – 3 Januari 2017.