Jambatan Pemberian Tenggelam 1,000 Penduduk Terjejas

Lebih 1,000 penduduk dari Kampung Pemberian dan Chepa, Kuala Krai terpaksa menggunakan perkhidmatan bot selepas satu-satunya jambatan yang menjadi penghubung utama kedua-dua buah kampung berkenaan tenggelam.

Seorang penduduk, Nik Azmi Yussof, 53, berkata, hujan lebat yang melanda sejak dua hari lalu menyebabkan jambatan sementara yang merentasi Sungai Lebir itu tenggelam.

Katanya, meskipun mengakui terpaksa berdepan dengan risiko berikutan arus Sungai Lebir yang deras namun mereka tidak ada pilihan selain menggunakan bot.

“Sejak jambatan ini tenggelam pada pagi kelmarin, kami sukar untuk kemana-mana. Kami hanya keluar untuk mencari keperluan penting sahaja,” katanya.

Tambahnya, dia bimbang tragedi bah kuning dua tahun lalu yang turut menyebabkan jambatan tersebut runtuh akan berulang selepas melihat hujan yang masih berterusan.

“Paras air Sungai Lebir dilihat terus meninggkat dan saya berharap keadaan akan pulih dalam tempoh terdekat,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Hasmah Hussin,47, berkata, jambatan tersebut merupakan satu-satunya laluan bagi penduduk di dua buah kampung berkenaan.

“Setiap tahun, situasi seakan-akan sama. Apabila tiba musim banjir, jambatan Pemberian akan tenggelam seterusnya menjejaskan penduduk,” katanya.

Sementara itu, pemandu bot, Abdul Rahman Hussin, 24, berkata, dia mengambil langkah menyediakan perkhidmatan bot untuk membantu penduduk dua buah kampung berkenaan berulang-alik.

Katanya, perkhidmatan tersebut bermula dari pukul 7 pagi sehingga 7 petang termasuk membawa pelajar sekolah.

“Saya hanya mengenakan caj sebanyak RM2 untuk setiap orang. Sejak kelmarin, penduduk di kampung berkenaan berpusu-pusu menggunakan bot,” katanya. – 3 Januari 2017.