Pesta Tengkujuh

Pesta yang ditunggu oleh rakyat Kelantan sudah tiba. Lewat sebulan daripada biasa. Lazimnya, Disember pesta ini membuka tirai tetapi kali ini, Januari baru panggungnya dibuka.

Bila panggung dibuka, maka beribu yang menyerbu. Panggung itu dinamakan Pusat Pemindahan Sementara. Yang menyerbu bukannya manusia biasa tetapi mereka yang ditimpa bencana.

Maka mereka perlu dilayan kerana mereka adalah mangsa. Mangsa kepada bencana yang dinamakan banjir. Keadaan cuaca yang tidak menentu itulah menyebabkan bencana itu.

Tetapi walaupun dipanggil bencana namun ia tetap juga pesta. Kerana ramai yang keluar menyenteng seluar sehingga ke lutut menyelak baju sehingga kepinggang tidak kira jantan dan betina. Mereka buat begitu kerana mahu meranduk air.

Dan disebabkan itu juga, yang lelaki membulatkan mata tanpa berkelip, dikira, dihitung sesama mereka betis siapa yang putih. Kalau ada rezeki, mungkin terselak lebih sedikit, dinampak sosok tubuh berbonjol-bonjol untuk diseronok dan dipermainkan.

Yang perempuan, tidak pula berasa apa kerana seronok dipertontonkan, mana tahu tersangkut mamat seperti Aron Aziz atau bintang K-Pop.

Seronok adalah salah satu eleman dalam pesta. Maka inilah pesta yang dinantikan walau ada yang menangis tidak berhenti.

Yang kesiannya ialah penghuni panggung Pusat Pemindahan Sementara. Hidup mereka tidak sempurna. Tidur beralaskan tikar. Makan berlaukkan telur dan sardin. Tetapi itu juga rutin mereka. Setiap tahun hidup mereka begitu.

Dan kerajaan tidak pernah berdiam diri. semuanya dibantu. Kerajaan sedar hanya itu kediaman rakyat biarpun setiap tahun tenggelam.

1 Januari 2017, hanya permulaan kepada bencana atau ada yang melihatnya sebagai pesta. Jumlah yang dipindahkan pun tidak seramai mangsa bah kuning, tidak sampai 2,000 orang, itu pun ada yang sudah balik. pesta2

Namun Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tetap turun padang melawat negeri Cik Siti Wan Kembang kerana mahu melihat sendiri keadaan dan penderitaan rakyat.

Beliau ke Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Lanas, Jeli sebelum terus ke Hulu Terengganu. Beliau juga berjanji akan memberikan bantuan yang terbaik kepada mangsa banjir tanpa mengira ideologi politik.

Dalam lawatan tersebut, Ahmad Zahid turut mengumumkan ramalan bahawa musim tengkujuh kali ini bermula dari Januari sehingga Mac bukannya seperti biasa yang bermula Disember.

Pengumuman itu penting bagi memastikan semua pihak supaya bersiap sedia untuk menghadapi bencana alam tersebut.

Apabila surut air di Jeli, Rantau Panjang pula menjadi kolam. Air sungai Golok mula melimpah. Kali ini giliran Datuk Seri Mustapa Mohamed pula turun ke padang. Beliau bertemu dengan rakyat di Rantau Panjang selepas semalam bersama mereka di Jeli.

Itulah pemimpin yang cakna biar ada rakyat yang melihatnya sebagai pesta.