Tanah Runtuh Di Lojing

Hujan lebat yang berterusan sejak beberapa hari lalu menyebabkan berlaku mendapan dan tanah runtuh di Kilometer 97, Jalan Gua Musang-Cameron Highland hari ini.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, kejadian kira-kira pukul 4.45 petang itu turut menyebabkan sisa tanah dan kayu-kayan melimpah serta menutup jalan di kawasan berkenaan.

Katanya, susulan daripada kejadian itu, jalan tersebut terpaksa ditutup buat sementara waktu dan dibuka semula kepada kenderaaan pada pukul 6.30 petang tadi.

“Seorang lelaki Cina yang bekerja di tapak pembinaan berhampiran telah memaklumkan kejadian dan anggota pasukan dari Pondok Polis Lojing telah bergegas ke tempat kejadian.

“Runtuhan tanah itu telah menghalang laluan kenderaan dari kedua-dua arah, namun tiada mangsa mengalami kecederaan.

“Operasi membersihkan sisa runtuhan tanah itu telah selesai dijalankan oleh orang awam, pekebun dan pihak polis. Kami juga masih membuat pemantauan di sekitar lokasi,” katanya. – 3 Januari 2017.