Banjir: Sekolah Ditutup Meningkat Dua Kali Ganda

Jumlah sekolah yang ditutup akibat banjir di tiga buah negeri iaitu Kelantan, Johor dan Terengganu meningkat dua kali ganda berbanding semalam.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr. Khair Mohamad Yusof berkata, Kelantan mencatatkan pertambahan yang tertinggi diikuti Terengganu dan Johor.

“Setakat hari ini, sebanyak 70 buah sekolah di Kelantan terpaksa ditutup atau ditangguhkan sesi persekolahan akibat banjir manakala 62 lagi di Terengganu dan tiga buah di Johor.

“Penutupan itu ekoran kawasan sekolah ditenggelami air begitu juga dengan laluan untuk ke kawasan tersebut yang turut tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan pengetua dan guru besar dibawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Mas hari ini. – 4 Januari 2017.