Mahathir Tiada Hak Tentukan Sesuatu Ibadah Haram

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menyifatkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed tidak mempunyai hak menentukan sama ada sesuatu ibadah itu sah atau sebaliknya.

Beliau menegaskan, sebagai manusia, sesiapa sahaja termasuk Dr. Mahathir sendiri tidak boleh mengetahui sama ada amalan seorang itu diterima atau ditolak kerana semua itu adalah urusan Allah SWT.

Dalam masa sama katanya, Dr. Mahathir juga tidak boleh menuduh dana melalui Program Khas Haji Perdana Menteri-Yayasan 1Malaysia dengan Development Berhad (IMDB) sebagai tidak halal kerana perkara itu masih belum jelas dan tidak dapat dibuktikan lagi kesahihannya.

“Sama ada amalan seorang diterima Allah, sama ada seseorang itu mendapat haji mabrur atau tidak hanya Allah menentukan. Tugas kita hanya melaksanakan tanggungjawab, diterima atau tidak terserah kepada Allah.

“Dalam diri kita sebagai umat Islam yang menunaikan segala kewajiban mesti ada rasa takut, takut tidak diterima, namun pada masa sama kita juga diajar supaya menaruh harapan agar setiap amalan tersebut diterima,” katanya semasa dihubungi.

Baru-baru ini, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) membuat dakwaan dengan menyifatkan orang yang melaksanakan ibadah haji melalui program 1MDB tidak mendapat haji mabrur.

Dakwanya, haji yang tidak mabrur itu berpunca daripada duit penajaan program tersebut kononnya haram kerana dicuri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebelum itu, Dr. Mahathir menyamakan pem­berian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) de­ngan rasuah.

Dalam pada itu, mengulas dakwaan Dr. Mahathir kononnya duit IMDB haram, Mohamad Syukri berkata, sumber tersebut masih belum jelas dan tidak sepatutnya dijadikan sebagai isu bagi menakutkan-nakutkan jemaah haji.

“Ada yang menganggap mengunakan duit itu (menunaikan haji) tidak halal, perkara tersebut sebenarnya masih tidak dapat dibuktikan.

“Kalau kita sembahyang menggunakan kain yang dicuri, sembahyang kita adalah sah, perbuatan mencuri itu yang haram,” katanya. – 4 Januari 2017.