Malaysia – Thailand Pantau Banjir

Kerajaan Malaysia sentiasa berhubung rapat dengan pihak berkuasa Thailand bagi memantau perkembangan situasi banjir yang sedang melanda di kedua-dua negara.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, langkah itu bagi memudahkan sebarang gerak kerja menyelamat mangsa banjir yang tinggal berhampiran kawasan Sungai Golok.

“Hujan lebat yang turun sejak beberapa hari lalu menyebabkan berlaku peningkatan paras air di Sungai Golok, sekali gus membawa kepada bencana banjir.

“Kita akan sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa di sana untuk mendapatkan maklumat terkini bagi memudahkan operasi menyelamatkan mangsa banjir,” katanya selepas meninjau Pusat Pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang 2.

Akhbar Thailand, Bangkok Post melaporkan lebih 25,000 penduduk di selatan negara itu yang berjiran dengan Kelantan terjejas akibat banjir. – 4 Januari 2017.