Kelantan, Persekutuan Perlu Kerjasama Holistik Tangani Banjir

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan PAS Kelantan dan Persekutuan perlu bekerjasama secara holistik mencari langkah jangka panjang bagi menangani masalah banjir di negeri itu.

Beliau berharap, kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dapat berlapang dada dan berfikiran terbuka dalam menyelesaikan masalah tersebut bagi membantu meringankan beban rakyat yang saban tahun terpaksa berdepan dengan musibah berkenaan.

“Cara terbaik paku alam iaitu hutan, sungai dan gunung-ganang hendaklah dipertahankan. Oleh yang demikian kita harap jalinan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah banjir secara holistik,” katanya.

Beliau berkata semasa berucap ketika melawat 1,441 mangsa banjir daripada 653 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang 2 hari ini.

Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua UMNO bahagian Rantau Panjang Datuk Abdullah Mat Yassin.

Sementara itu, beliau meminta Mustapa dan Shahidan agar duduk semeja dengan Ahmad bagi memperincikan bentuk koordinasi yang boleh dilakukan antara kerajaan negeri dan Persekutuan dalam menangani masalah banjir di Kelantan.

“Saya minta Datuk Seri Mustapa dan Datuk Seri Shahidan untuk bersama-sama dengan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Datuk Ahmad Yakob dan mencari jalan dengan mengadakan mesyuarat memperincikan apakah koordinasi yang dapat dilakukan.

“Bukan hanya dari segi bantuan ketika banjir dan pasca banjir tetapi penyelesaian jangka panjang harus dicari sebagai tanda istiqamah dan komitmen dalam bentuk tabayun antara kerajaan negeri dan juga kerajaan Persekutuan,” katanya.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata, antara langkah awal yang dapat dilakukan oleh kerajaan negeri dalam menangani bencana banjir di negeri itu adalah dengan melaksanakan penebangan hutan secara berstruktur dan terpilih, selain mengurangkan aktiviti pembalakan untuk dijadikan kawasan ladang.

Beliau berkata, kegiatan pembalakan hanya akan menyebabkan hakisan tanah yang mengundang kepada berlakunya dasar sungai yang cetek, sekali gus akan meningkatkan perbelanjaan kerajaan Persekutuan dalam menjalankan projek mendalamkan dasar sungai. – 5 Januari 2017.