Kerajaan Negeri Jangan Bersandiwara

Kerajaan PAS Kelantan diingatkan supaya tidak bersandiwara berhubung bentuk bantuan yang akan disalurkan kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bagi menyelamatkan pasukan bola sepak negeri itu.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kota Bharu, Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abdul Ghani berkata, sehingga kini peminat masih menunggu keputusan kerajaan negeri itu.

“Kita yakin kerajaan negeri berkemampuan untuk membantu pasukan kelantan.

“Jadi saya minta supaya kerajaan negeri tidak bermain sandiwara dalam kemelut ini. Peminat masih ternanti-nanti keputusan dan jawapan positif kerana perkara ini membabitkan hidup mati pasukan Kelantan,” katanya semasa ditemui.

Tambah Mohd. Fared, sebagai pihak yang mempunyai dana untuk memajukan sukan, kerajaan negeri masih tidak boleh memutuskan apakah bantuan yang boleh diberikan kepada KAFA.

“Malah peminat difahamkan, permohonan melupuskan hutang levi stadium tahun lalu tidak diluluskan oleh kerajaan negeri. Keputusan itu termasuklah permohonan menghapuskan levi untuk tahun ini dan tahun berikutnya.

“Malah usaha untuk mendapatkan peruntukkan geran kecemasan sebanyak RM3 juta juga seolah-olah dipandang sepi oleh kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata, sudah sampai masanya pihak kerajaan negeri membuka mata dan tidak melibatkan sebarang unsur politik dalam sukan bola sepak. – 5 Januari 2017.