Perkasa Kelantan Bantu Mangsa Banjir

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Kelantan menyampaikan sumbangan kepada 300 mangsa banjir di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jarum, Pasir Mas.

Yang Dipertuanya, Asri Ali berkata, sumbangan berupa barangan keperluan makanan itu diberikan bagi meringankan beban mangsa yang terjejas teruk dengan banjir khususnya di daerah berkenaan.

Katanya, sumbangan tersebut juga merupakan kesinambungan daripada bantuan yang disalurkan semasa bah kuning dua tahun lalu.

“Hari ini kita membantu mangsa dengan memberikan barangan keperluan kepada mereka. Barangan tersebut sekurang-kurangnya dapat dimanfaatkan mereka semasa berada di pusat pemindahan,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Asri memberitahu, pihaknya membuka bilik gerakan 24 jam di Wakaf Bharu bagi membantu orang ramai yang mempunyai masalah.

Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan rakyat agar mengikut arahan pihak berkuasa agar segera berpindah sekiranya kawasan mereka mula dinaiki air. – 5 Januari 2017.