Asyraf Redah Banjir Selamat Mangsa Banjir

Penduduk di Kampung Gong Tengah, Semerak Pasir Puteh tidak menduga apabila Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sanggup meredah banjir bagi membantu mereka berpindah ke pusat pemindahan.

Mereka juga cukup teruja apabila melihat Asyraf Wajdi mendukung seorang remaja Orang Kurang Upaya (OKU) dalam keadaan hujan renyai dan memindahkannya ke dalam bot pasukan penyelamat.

Bagi penduduk di kawasan berkenaan, detik tersebut cukup istimewa bagi mereka apabila melihat seorang pemimpin sanggup berbasah, meredah banjir dalam keadaan serba tidak selesa hanya kerana ingin merasai kesusahan mangsa yang terjejas dengan banjir.

Selain Asyraf, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Datuk Zawawi Othman turut bersama pasukan penyelamat membantu penduduk yang terperangkap di kampung berkenaan ke pusat pemindahan di Dewan UMNO Uthmaniyah Pulau Lima.

Seorang penduduk, Ismail Awang, 40, berkata, Asyraf Wajdi dan Zawawi bersama sekumpulan anggota pasukan penyelamat meredah banjir dari rumah ke rumah penduduk untuk dipindahkan ke tempat yang lebih selamat.

“Sudah banyak tahun kampung ini tidak mengalami banjir dan keadaan air yang meningkat secara mendadak menyebabkan penduduk bimbang keselamatan masing-masing.

“Perasaan bimbang dan gementar sekurang-kurangnya reda apabila melihat kesungguhan pemimpin tampil membantu kami,” katanya.

Kampung terbabit dinaiki air berikutan limpahan air dari Kampung Lampu dan sempadan daerah Besut mengalir turun ke kediaman mereka.

Sementara itu, Zawawi ketika ditemui berkata, sebanyak tiga buah kampung di kawasan berkenaan terjejas dengan banjir.

“Saya bersedia untuk memantau perjalanan pengurusan mangsa banjir di Dewan UMNO ini selain memberi jaminan akan memastikan penduduk di kawasan tersebut mendapat keselesaan,” katanya. – 5 Januari 2017.