ATM Tempatkan 2,000 Anggota Di Lokasi Banjir

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menempatkan lebih 2,000 pegawai dan anggota bertugas di lokasi banjir di Kelantan dan Terengganu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kekuatan anggota serta aset mencukupi dan proses menangani banjir berjalan lancar.

“Alhamdulillah setakat ini berdasarkan laporan banjir yang diterima dari Terengganu dan Kelantan, tiada masalah berbangkit dan kita bersedia menambah kekuatan anggota selain menggerakkan aset sedia ada sekiranya diperlukan.

“Setakat ini, tiada keperluan menambah aset kerana proses memindah serta membantu mangsa banjir mampu menampung dengan aset sedia ada.

“Rakyat dan ATM berpisah tiada dan sejak hari pertama banjir dilaporkan di Kelantan dan Terengganu, kita berada di barisan hadapan bagi membantu mangsa banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan keperluan asas kepada mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi, hari ini. – 6 Januari 2017.