Inspek Gerakkan Misi Bantu Mangsa Banjir

Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (Inspek), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menggerakkan misi memberi bantuan kepada mangsa banjir di Jeli baru-baru ini.

Pengarah Inspek, Prof. Rosdi Abdul Rahman berkata, bantuan berupa barangan keperluan itu disalurkan kepada mangsa yang terdiri daripada peserta Empower ECER di daerah berkenaan.

Katanya, program tersebut akan terus digerakkan dari masa ke semasa termasuk di daerah-daerah lain yang terjejas.

“Kita sedang merangka pelbagai program bantuan kepada mangsa banjir ini. Kita akan pastikan mangsa ini mendapat pembelaan sebaiknya.

“Kita menyedari mangsa menghadapi pelbagai kesulitan terutama selepas kediaman mereka dinaiki air,” katanya.

Sementara itu, Inspek dengan kerjasama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah memberikan sumbangan kepada kira-kira 75 mangsa banjir di daerah Jeli baru-baru ini.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pengarah Pusat Pembangunan Sosial Ekonomi Parlimen Jeli, Nordin Mahamood yang turut meluangkan masa bersama wakil-wakli Inspek melawat dan merasai sendiri kesusahan mangsa banjir.

Nordin berkata, penyerahan bantuan tersebut diharapkan dapat membantu meringankan beban serta mengubat sedikit sebanyak duka dalam kalangan mangsa. – 6 Januari 2017.