Jabatan Pendidikan Negeri Diarah Memberi Laporan Kerosakkan Sekolah

Kementerian Pendidikan telah mengarahkan Jabatan Pendidikan di negeri-negeri terjejas banjir agar memberi laporan segera mengenai kerosakan di sekolah yang terlibat.

Menteri  Pendidikan, Datuk Seri Mahadzir Khalid berkata, laporan tersebut meliputi kerosakkan seperti perabot, pendawaian elektrik dan pelbagai lagi keperluan lain.

“Selepas menerima laporan, kita akan memberi peruntukkan segera,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Kedai Tanjong, Pasir Mas.

Dalam lawatan kira-kira sejam itu, Mahadzir turut menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan kepada lebih 1,000 mangsa di pusat pemindahan berkenaan.

Tambah beliau, sebanyak 72 sekolah di Kelantan dan Terengganu terpaksa ditutup ekoran banjir sejak Isnin lalu.

Katanya, penutupan tersebut menjejaskan 15,000 pelajar.

“Melihat kepada cuaca baik hari ini, Insya-Allh sekolah boleh dibuka kembali pada minggu depan,” katanya. – 6 Januari 2017.