KAFA Kecewa Dengan Kerajaan PAS Kelantan

Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) kecewa dengan Kerajaan PAS Kelantan yang menolak beberapa permohonan bantuan yang diminta bagi menyelamatkan pasukan bola sepak negeri itu.

Naib Presiden KAFA, Datuk Rosmadi Ismail berkata, pihaknya tidak mendapat sebarang maklum balas atau jawapan bertulis daripada kerajaan negeri berhubung permohonan tersebut sebaliknya hanya mengetahui penolakan itu menerusi laporan akhbar hari ini.

Katanya, dalam keadaan KAFA yang semakin terdesak, kerajaan negeri sepatutnya mengambil sikap membantu kerana sukan bola sepak ini merupakan darah daging rakyat Kelantan.

“Kita teramat sedih dan dukacita dengan apa yang berlaku pada hari ini. Kerajaan PAS Kelantan sepatutnya mengikut langkah kerajaan negeri lain yang memberi bantuan kepada pasukan bola sepak negeri masing-masing,” katanya.

Semalam sebuah akhbar melaporkan, Kerajaan Negeri Kelantan me­ngaku menyokong skuad The Red Warriors (TRW) tetapi menolak beberapa permohonan bantuan yang diminta KAFA.

Kerajaan negeri dilaporkan menolak empat daripada lima permohonan yang dikemukakan KAFA dalam usaha meringankan beban kewangan persatuan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood dilaporkan berkata, kerajaan hanya meluluskan permohonan melupuskan cukai hiburan bernilai RM500,000 yang dikenakan kepada KAFA.

Bagaimanapun Abdul Fattah memaklumkan bahawa kerajaan negeri tidak bersetuju melupuskan levi stadium dan menolak permohonan KAFA untuk mendapat geran RM7 juta dan bantuan one-off RM3 juta.

Sementara itu, portal ini hari ini melaporkan peluang Kelantan untuk beraksi di pentas Liga M hampir cerah selepas kemelut dana yang diperlukan pasukan Kelantan dijangka selesai.

Bekas Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa berusaha menyelesaikan kemelut tersebut dengan mendapatkan dana yang diperlukan.

Malah, dalam pertemuannya dengan exco KAFA malam tadi beliau telah mengarahkan supaya pendaftaran pemain dilakukan segera memandangkan tarikh tutup penyertaan adalah hari ini. – 6 Januari 2017.