Peluang Kelantan Sertai Liga M Hampir Cerah

Peluang pasukan bola sepak Kelantan untuk bersaing di pentas Liga Malaysia (Liga M) musim ini hampir cerah selepas kemelut dana yang diperlukan pasukan itu dijangka selesai.

Difahamkan, bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berusaha menyelesaikan kemelut tersebut dengan mendapatkan dana untuk pasukan itu.

Malah, dalam pertemuannya dengan barisan exco KAFA malam tadi beliau telah mengarahkan supaya pendaftaran pemain dilakukan segera memandangkan tarikh tutup penyertaan pasukan ialah pada hari ini.

“Pertemuan dengan exco KAFA baru selesai, esok KAFA diminta daftar 23 pemain dulu sekali gus meneruskan penyertaan Liga Super.

“Ini perlu mereka lakukan demi menjaga maruah Kelantan, menghargai sokongan penyokong setia, serta membangunkan bola sepak Kelantan,” katanya menerusi laman Facebook malam tadi.

KAFA sebelum ini tersepit dengan masalah kewangan telah memutuskan untuk menarik diri daripada saingan Liga-M 2017.

Badan induk bola sepak Kelantan itu memerlukan sekurang-kurangnya RM15 juta bagi membolehkan pasukan itu kekal bersaing secara kompetitif.

Mesyuarat khas exco KAFA pada 15 Disember lalu mendedahkan dana kewangan terkumpul persatuan itu hanya RM800,000 daripada sumbangan penaja tertentu dan mereka perlu bekerja keras mencari dana sebelum sepak mula Liga-M, akhir bulan ini. – 6 Januari 2017.