RedONE, Al Hamra Group Penaja Utama, Kelantan Kekal Beraksi Dalam Liga M

Teka-teki penyertaan skuad The Red Warriors dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim ini terjawab apabila Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akhirnya memutuskan untuk kekal beraksi.

Ini selepas KAFA berjaya memperoleh suntikan dana yang diharapkan menerusi penajaan daripada dua syarikat iaitu RedONE dan Al Hamra Group.

Setiausaha Agung KAFA, Datuk Ismail Md Noor berkata, keputusan untuk kekal beraksi dalam Liga-M dicapai selepas kedua-dua syarikat berkenaan bersetuju menjadi penaja utama skuad The Red Warriors musim ini.

“Hari ini kita akan mendaftar 23 pemain termasuk seorang pemain import kepada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) bagi membolehkan Kelantan kekal beraksi,” katanya kepada pemberita hari ini.

Hadir sama, Pengerusi RedONE, Tan Sri Annuar Musa yang juga Presiden Al Hamra Group.

RedONE adalah sebuah syarikat telekomunikasi manakala Al Hamra Group merupakan syarikat berasaskan pertanian dan perladangan.

Sementara itu, Annuar berkata, pihaknya membuat keputusan menjadi penaja utama melalui dua syarikat tersebut bagi membolehkan Kelantan terus beraksi pada saingan musim ini.

“Peringkat awal, sebanyak RM3 juta disediakan sebagai jaminan untuk membolehkan pasukan Kelantan terus beraksi.

“Kami juga menaja tiga pemain import iaitu seorang pemain dari Asia dan dua pemain dari Eropah yang mana kami akan bertanggungjawab berkaitan pengurusan mereka,” katanya.

Beliau berkata, keputusan itu dilakukan setelah mengadakan perbincangan dengan KAFA mengenai nasib dan kemelut yang dihadapi persatuan berkenaan.

“Saya bersetuju menjadi penaja, namun tidak akan kembali menjadi Presiden KAFA kerana saya mahu melihat Kelantan beraksi,” katanya.

Sebelum ini, akhbar melaporkan KAFA mahu menarik diri daripada saingan Liga-M kerana menghadapi kemelut kewangan yang kritikal. – BERNAMA, 6 Januari 2017.