PM Timbang Cadangan Jambatan Pengkalan Kubur Atasi Banjir

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mempertimbangkan cadangan pembinaan jambatan baharu di Jalan Kesban, Kampung Nibong, Pengkalan Kubor bagi mengatasi masalah banjir termenung di daerah berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya akan meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membuat kajian berhubung cadangan jambatan yang bernilai kira- kira RM10 juta itu.

“Sekiranya perkara itu sesuai dan wajar dilakukan, saya akan menyediakan peruntukan yang dianggarkan bernilai RM9 juta sehingga RM10 juta.

“Cadangan pembinaan jambatan baharu ini disuarakan oleh Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Mohd. Rosdi Abdul Aziz berikutan kawasan berkenaan sering berlaku banjir termenung berikutan tiada saluran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bunohan, Tumpat hari ini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim; Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid. – 7 Januari 2017.