Usung Jenazah 500 Meter Redah Bah

Penduduk dari Kampung Neteng, terpaksa meredah bah kira-kira 500 meter mengusung jenazah seorang warga emas untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Geting, Tumpat petang tadi.

Allahyarham, Husien Ali, 68, yang meninggal dunia kira-kira 9 pagi terpaksa diusung selepas rumah dan kawasan kampung berkenaan masih digenangi air sedalam satu meter.

Jenazah Husien selamat dikebumikan kira-kira pukul 5 petang ini selepas dimandi dan disembahyangkan di Masjid Assomadi Geting.

Penyelia Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, Mohammad Draman berkata, jenazahnya dibawa ke Masjid Assomadi Geting untuk dimandikan dan solat jenazah kerana banjir.

“Air banjir masih belum surut, jalan ke rumahnya masih ditengelami air, sebab itu kena usung jenazah bawa keluar,” katanya.

Hussien meninggal dunia akibat sakit stroke dan tidak berpindah ke pusat pemindahan banjir kerana lumpuh sebelah badan. – 7 Januari 2017.