Abdul Hadi, Yusuf Qaradawi Wujud Perbezaan Pendapat

Naib Presiden Kesatuan Ulamak Islam Sedunia (KUIS), Datuk Seri Abdul Hadi Awang, tidak menafikan wujud perbezaan pendapat antara beliau dengan sarjana terkemuka Islam Dr. Yusuf Al-Qaradawi.

Menjawab soalan peserta dalam program syarahan perdana ‘Asia Barat yang bergolak, ke mana kita?’ di Shah Alam beliau berkata, perbezaan pandangan mengenai sesetengah isu pernah dizahirkan melalui artikel yang dihantar kepada Yusuf.

“Memang ada pandangan berbeza (dengan Yusuf). (Dan) saya kemukakan pandangan berbeza itu dengan beliau.

“Saya nak beritahu di sini, saya dilantik (menjadi) naib presiden Ulamak bukan saya minta jawatan. Saya tak minta jawatan itu.

“Dan dengan sebab itu saya ada pendirian saya,” katanya yang juga selaku Presiden PAS.

Abdul Hadi ditanya berhubung perbezaan pendapat dengan Yusuf ketika beliau menghadiri perhimpunan antara mazhab di Tehran.

Sebelum ini Yusuf dilaporkan mengecam tindakan Abdul Hadi yang menghadiri perhimpunan antara mahzab tersebut.

Kata Yusuf, KUIS juga terkejut dengan waktu kunjungan Abdul Hadi kerana dibuat ketika “Iran menjalankan jenayah kejamnya” di Aleppo, Syria.

Abdul Hadi memberikan contoh perbezaan pendapat antara dirinya dan Yusuf dalam meletakkan ‘hukum’ untuk melawat Baitul Maqdis di Palestin dan isu yang berlaku di Yaman.

“Dia (Yusuf) ada pandangan berbeza contohnya dia mengharamkan melawat Baitul Maqdis. Saya tak boleh buat cara macam itu. Ada yang melawat sebab nak bantu Palestin.

“Kalau nak melawat saja dan nak melancong itu diharamkan. Orang Palestin dalam kesusahan tapi kita melawat nak melancong. Itu tak boleh.

“Melawat Baitul Maqdis untuk menyumbang pada Palestim, itu mesti dibenarkan. Ini pandangan saya dan beliau (ada pandangannya),” katanya.

Dalam krisis di Yaman pula, Abdul Hadi berkata, beliau pernah memberikan artikel kepada Yusuf dengan mengatakan terdapat perkara yang tidak betul dalam krisis di negara berkenaan.

“Saya tulis artikel terperinci dan hantar pada (Yusuf) Qaradawi. Ini pandangan saya. Ada yang tak betul dalam krisis di Yaman.

“Malangnya rakan-rakan di Arab terpengaruh dengan politik di negara masing-masing,” katanya. – 8 Januari 2017.