JPN, PPD Bersih Sekolah

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tumpat hari ini melakukan kerja-kerja pembersihan bagi membolehkan sekolah yang dijadikan Pusat Pemindahan banjir beroperasi dengan sempurna.

Penyelaras Sekretariat Pasca banjir JPN, Dr. Ahmad Mat Yani Muhamad berkata, sebanyak 73 buah sekolah di Kelantan terpaksa ditutup sejak banjir melanda negeri itu akhir Disember lalu.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 65 buah sekolah dibuka untuk dijadikan pusat pemindahan sementara.

“Operasi yang dilakukan hari ini mendapat kerjasama daripada beberapa agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan juga sukarelawan persendirian,” katanya semasa ditemui hari ini.

Ahmad Mat Yani berkata, pihaknya kini sedang mengenalpasti jumlah kerosakan yang dialami sekolah di negeri itu akibat banjir.

“JPN sudah mengarahkan agar pihak PPD menyenaraikan data dan mendapatkan maklumat mengenai sebarang kerosakan sekolah sebelum di bawa ke Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya.

Sehingga kini, sebanyak 12 buah sekolah masih belum beroperasi sepenuhnya, masing-masing enam sekolah di Tumpat dan Pasir Mas. – 8 Januari 2017.